Mutiara Bangi’s Weblog

March 18, 2009

Demi Sebuah Perjuangan

Filed under: 1 — mutiarabangi @ 6:17 am

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Minggu lalu, umat-umat Islam di seluruh dunia menyambut Maulidur Rasul dengan penuh rasa keinsafan. Di negara kita mithalnya, sambutan Hari Maulidur Rasul dirai sederhana, tetapi dengan penuh pengertian dan makna. Itulah hari di mana ribuan umat baginda berhimpun dan berarak sambil mengalunkan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w. Namun dalam pada masa yang sama, rasa cinta kita pada Rasulullah s.a.w tidak harus diukur hanya dari perarakan dan sambutan, tetapi ia perlu diterjemahkan melalui perjuangan kita untuk terus mempertahankan agama Islam.

Di tengah-tengah kemelut politik yang masih tidak kunjung tiba tamatnya, umat-umat Islam yang berlainan ras dan bangsa, berhimpun untuk menunjukkan rasa cinta mereka kepada baginda Rasulullah s.a.w. Di situlah letaknya ketinggian dan keindahan agama Islam, yang telah diperjuangkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. seribu empat ratus tahun yang lalu. Alangkah indahnya apabila kita semua sanggup mengenepikan kepentingan dan pegangan diri masing-masing, untuk menyampaikan rasa cinta kita kepada baginda.

Rasulullah s.a.w meninggalkan dua rahsia kebahagian dan kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat. Rahsia yang mampu menghidupkan hati-hati manusia agar terus mencari kebenaran dan keadilan. Genggamlah rahsia ini sekukuhnya. Janganlah mudah putus asa mengharungi cabaran hidup yang melanda hari ini. Janganlah bersedih dengan kekangan, halangan dan ancaman. Ini semua ujian Allah bagi meningkatkan iman dan menguji dikalangan hamba-Nya siapa yang paling baik amalannya.

Tidak cukup hanya slogan, laungan, perarakan sebagai tanda cinta kepada Rasulullah s.a.w. Budayakanlah hidup dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Baginda bukan hanya minta agar kita semua mengikutinya melalui fizikal penampilannya semata-mata, bahkan sunnah perjuangan memartabatkan Islam perlu dijadikan agenda kehidupan. Moga kita beroleh syafaat dari Rasulullah s.a.w di hari kemudian. Ingatlah janji Allah kepada orang-orang yang sabar dalam perjuangan, syurga adalah hadiahnya.

February 25, 2009

Wacana Wadi Ilmu (1)

Filed under: Pengumuman — mutiarabangi @ 3:33 am

Info Program:

Tarikh: 28 Februari 2009 (Sabtu)
Masa: 9.00 pagi – 11.30 pagi
Lokasi: Tasik Chempaka, Bandar Baru Bangi (Berdekatan Kompleks PKNS)
Anjuran: Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi

Deskripsi Program:

Tajuk: Masa Depan Landskap Politik Malaysia

Panelis 1: Dr. Ghazali Mahyuddin
Panelis 2: Wan Abd Rahman Wan Abdul Latif
Panelis 3: Badrul Hisham Shaharin

Terbuka kepada umum. Semua dijemput hadhir.

December 13, 2008

Foto Korban

Filed under: 1 — mutiarabangi @ 2:25 pm

lembu3

December 7, 2008

Jangan Ghairah Membina Sambil Merobohkan

Filed under: Artikel — mutiarabangi @ 2:09 pm

Ketika ini, umat Islam di Mekkah sedang wukuf di Padang Arafah. Di bumi Malaysia ini, rumah-rumah Allah sedang diimarahkan dengan takbir serta tahmid memuji kebesaran Yang Maha Esa. Tidak terkecuali Surau Al Mawaddah.

Dan dalam masa yang sama, di Bukit Antarabangsa berlaku peristiwa yang begitu menyayat hati. Korban 4 nyawa manusia dan 14 buah rumah banglo. Tragedi yang berlaku 4 hari sebelum ulangtahun ke-15 Tragedi Highland Tower.

Bekas Perdana Menteri Indonesia, Pak Natsir pernah berkata, ‘Jangan Kita Ghairah Membina Sambil Merobohkan’. Ungkapan yang tampak kena dengan apa yang berlaku. Keserakahan manusia mencederakan alam lantas menjerat manusia itu sendiri.

Dalam konteks komuniti Mutiara Bangi ini, rasa syukur kita dipanjatkan kepada Tuhan kerana kita telah berjaya membina Surau Al Mawaddah dan Solat Sunat Eidul Adha serta ibadah korban akan dilansungkan esok. Tetapi kita harus insaf bahawa ada perkara yang jangan sesekali diambil mudah. Nabi sewaktu mendirikan Masjid pertama yakni Masjid Quba’ menekankan kepentingannya sebagai pusat kegiatan dan juga memupuk persaudaraan. Seharusnya sikap angkuh, mudah menyangka yang buruk-buruk harus dijauhkan dan diganti dengan sikap berlapang dada dan memaafkan.

Moga Tuhan mengampunkan dosa kita dan kariah kita.

December 6, 2008

Kullu ‘Am Wa Antum Bikhair

Filed under: Surau Al Mawaddah — mutiarabangi @ 4:20 am

Korban adalah manifestasi penyerahan diri kepada Sang Khalik. Tetapi Tuhan tidak kejam. Bukan caranya mematikan diri sebagai tanda cinta kita kepadaNya. Lalu batang tubuh Ismail diganti dengan Kibash.

Umat tidak harus melihat aspek Korban ini dari sisi ritual semata-mata. Bukun tujuan zahir semata-mata korban untuk diserahkan kepada fakir dan anak yatim. Menganggap itu sebagai tujuan tunggal adalah sama sekali terpesong dan tidak memahami i’jaz korban. Pengorbanan merangkumi aspek penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah dan Rasul, tidak memilih bahagian-bahagian tertentu dalam agama untuk diamalkan dan meninggalkan yang lain atas nama toleransi, kemajmukan masyarakat, kekangan penerimaan budaya, faktor undi dan politik dan seribu macam alasan lain. Ada perkara yang harus disusun atur, barangkali ada bahagian yang belum boleh dilakukan lagi, tetapi jangan pula menolak perkara yang disyariatkan.

Solat sunat Eidul Adha akan diadakan pada 10 Zulhijjah 1429H/8 Disember 2008, pukul 8.00 pagi. Selepas itu ibadat Korban akan dijalankan diperkarangan Surau Mawaddah.

Till then, Happy Eid!

October 22, 2008

Sujudmu milik siapa?

Filed under: Artikel, Islam, Umum — mutiarabangi @ 2:51 pm

Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s. a. w. yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa didalamnya. Sabda Rasulullah s. a. w :- “Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya.” 

Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat. “Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar.”

Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat. Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah s. a. w biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud. Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud:-“Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat”

Mendengar itu para sahabat bertanya: “Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?”

Sahabat menjawab: “Bahkan !” Rasulullah menyambung: “Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berseri-seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka ( terutama anggota wudu’) putih berseri-seri oleh cahaya wudhu’ !!!”

Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah s. a. w. bersabda yang bermaksud:- “Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud”

Begitulah Allah memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.

Wassalam.

September 21, 2008

10 terakhir

Filed under: Surau Al Mawaddah — mutiarabangi @ 3:38 pm

  

   

September 18, 2008

Majlis Penyampaian Sumbangan

Filed under: Pengumuman — mutiarabangi @ 2:34 am


Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah – Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)

Mengambil keberkatan dan kemuliaan Ramadhan Kareem ini, komunite Mutiara Bangi melalui Jawatankuasa Kecil Kebajikan Persatuan Penduduk Mutiara Bangi akan menyampaikan sumbangan Ramadhan kepada pihak yang memerlukan di sekitar kejiranan Bandar Baru Bangi pada waktu dan masa seperti berikut:

Tarikh:      Sabtu, Sept 20, 2008
Masa:        6:00 petang
Tempat:    Surau Al-Mawaddah, Mutiara Bangi

Sumbangan akan disampaikan kepada 19 orang ibu tunggal dan 4 orang pengawal keselamatan Mutiara Bangi. Majlis ini akan disusuli dengan Iftar Jamaie dan Solat Maghrib.

September 1, 2008

Iftar di Surau Mawaddah

Filed under: Surau Al Mawaddah — mutiarabangi @ 3:24 pm

Iftar atau majlis berbuka puasa telah diadakan di Surau Mawaddah buat julung kalinya. Sumbangan ikhlas daripada Tuan Hj. Hashim dan Y. Bhg Dr. Arbaiyah kepada komuniti Mutiara Bangi dan jemaah Surau Mawaddah amat-amatlah dihargai

Kelahiran

Filed under: Umum — mutiarabangi @ 4:47 am

Sempena Bulan Ramadhan Kareem 1429H, blog ini dilancarkan sebagai satu medium berita berkaitan aktiviti dan hal ehwal semasa sekitar Mutiara Bangi.

Selamat mengerjakan Ibadat Puasa dan Solat Terawih!!!

Blog at WordPress.com.